Saturday, April 18, 2009

Mengapa Muslim biarkan hati mati?

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

* Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

*Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah. - lanh

Thursday, April 16, 2009

Golongan Ruwaibidhah di Malaysia

Siapakah golongan Ruwaibidhah? Kehadiran kelompok ini memang mendatangkan banyak masalah kepada umat Islam serata dunia. Kecelakaan menimpa umat ini memang parah. Dan kehadiran mereka adalah salah satu penyebabnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.

Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?" Nabi s.a.w menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai." [Ibnu Majah]

Menurut keterengan Ustaz Fahmi Zam Zam dalam 40 hadis susunannya berhubung akhir zaman, beliau menyimpulkan bahawa era di mana terbitnya Ruwaibidhah ini adalah zaman ketandusan daripada segi material dan pemikiran.

Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanya peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Ciri-ciri Ruwaibidhah
Berdasarkan hadis itu, kita dapati Ruwaibidhah adalah mereka yang hadir pada era tandus dan kekeringan hikmah, pengetahuan hingga umat tidak lagi mampu berfikir dengan cara betul. Ini isyarat pertama.

Oleh sebab masyarakat menjadi bodoh kerana diperbodohkan pihak penguasa, maka orang berdusta pun boleh menjadi benar dan orang yang benar pula boleh dikatakan sebagai telah berdusta. Ini isyarat kedua.

Pengkhianat diminta memegang amanah dan orang yang amanah dituduh pengkhianat. Ini isyarat ketiga.

Isyarat keempat dan yang terakhir; yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Inilah yang paling utama sekali. Kita akan huraikan kemudian, kenapakah isyarat ini yang dianggap penting dan terutama.

Mengakhiri sabdanya, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa pada hakikatnya.. Ruwaibidhah itu manusia yang kerdil, hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.

Ruwaibidhah di negara kita
Antara ciri-ciri yang utama Ruwaibidhah ini ialah sistem yang dipegang, amalan pentadbiran dan cara hidup era tersebut telah menyebabkan, hanya golongan Ruwaibidhah sahaja yang bercakap. Manakala, penyertaan suara yang selain daripada mereka tidak diberikan.

Keadaan ini menyebabkan maklumat menjadi tidak seimbang, rakyat akan mendengar sebelah pihak dan menelan bulau-bulat propaganda mereka. Dengan sebab inilah masyarakat dan rakyat tu menjadi semakin bodoh kerana diperbodohkan.

Setelah masyarakat tidak cerdik, maka berleluasalah gejala lain seperti, orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung-sanjung dan didewa-dewakan.

Akta-akta, undang-undang diperkenalkan sehingga menyekat penyertaan suara orang-ramai. Orang yang benar-benar ikhlas dan jujur sangat kurang peluangnya untuk bercakap, menulis dan melontarkan pandangan. Media dikawal rapi. Pendek kata inilah ciri-ciri diktator pada hari ini.

Sebenarnya, jika mereka ingin menunjukkan kebaikan, semua itu hanyalah sekadar sandiwara dan lakonan. Mereka mungkin mahu menyekat suara orang-ramai, tetapi dikhuatiri akan dinamakan kukubesi dan diktator. Maka, sesekali terpaksalah mereka merelakan penyertaan suara khalayak ramai. Tapi, selepas itu mereka akan menutupnya semula.

Peluang bercakap cuma dimiliki sepenuhnya oleh watak-watak yang hina dan mereka ini tak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya. Bayangkan, ruang bercakap di media, radio dan televisyen dimonopoli oleh orang yang tidak tahu mengendalikan masalah rakyat.

Sedangkan, mereka yang benar-benar bijaksana dalam urusan menyelesaikan masalah rakyat telah diketepikan suara mereka itu dalam ruang media. Dan jika mereka yang bijaksana ini mahu mencari pentas ceramah dan pidato, permit boleh ditarik balik pada saat-saat akhir setelah pada awalnya permit itu diberikan.

Perkembangan mutakhir ini menyebabkan ramai pihak boleh menyatakan suara dan bantahan mereka menerusi blog, laman web dan sebagainya. Namun, mereka tetap terdedah kepada unsur godaman internet oleh pihak-pihak tertentu, ditahan reman di bawah akta tertentu untuk disoal-siasat dan lain-lain tindakan lagi.

Bagaimana mengatasi Ruwaibidhah?
Tidak guna juga jika kita merincikan siapakah Ruwaibidhah tanpa memberikan imbuhan mengenai bagaimanakah caranya untuk menangani puak-puak Ruwaibidhah ini.

Asas atau kunci untuk menumbangkan hegemoni, legasi puak-puak Ruwaibidhah ini amat bergantung kepada taraf kecerdikan rakyat yang telah diperbodohkan selama ini. Ketika masyarakat cerdik dan cekap membuat keputusan, maka Ruwaibidhah ini akan tumbang dengan sendirinya nanti, insya Allah.

Islam telah pun menggariskan apakah ciri-ciri munafik sebagai musuh utama umat Islam. Munafik sebenarnya bukan Islam. Mereka kelihatan Islam di luaran, tetapi dalamannya masih kufur. Munafik akan terlempar dalam neraka terlebih dahulu. Dan, tidak sah berimamkan orang munafik kerana pada hakikatnya mereka adalah kufur.

Demikian ciri munafik. Tetapi, sukar dikenalpasti kemunafikan ini lantaran mereka juga bersolat seperti orang lain.

Sementara ciri-ciri ruwaibidhah ini boleh jadi terlekat ke atas Muslimin dan orang bukan Islam. Dalam masyarakat Islam ada pemimpin ruwaibidhah dan begitu juga dalam negara bukan Islam. Pendek kata, ruwaibidhah adalah ciri universal yang dimiliki oleh mana-mana bangsa, agama dan kepercayaan.

Kehadiran golongan ruwaibidah bersifat merentasi sempadan bangsa, negara, agama dan kepercayaan dan boleh mereka hadir di mana-mana jua. Sedangkan munafik hanya suatu gelaran yang dinisbahkan kepada orang bukan Islam yang menyamar untuk melemahkan umat Islam daripada dalam. Ini ciri khas untuk masyarakat Islam sahaja.

Penawar untuk menjatuhkan tembok keangkuhan ruwaibidhah ialah.. perjuangan menegakkan kebebasan bersuara, menggalakkan kemunculan ruang media yang lebih banyak untuk membongkar isi filsafat songsang mereka selama ini.

Penyertaan bersuara dalam kalangan rakyat menggetarkan seluruh hati dan perasaan kelompok Ruwaibidhah kerana tipu daya mereka akan terbongkar. Niat jahat mereka ditumbangkan oleh bedilan kata-kata pejuang kebenaran. PPSMI dan Ruwaibidhah
Sabda Rasulullah s.a.w, Ruwaibidhah ini sebenarnya watak manusia yang kerdil, hina dan mereka ini sebenarnya tak tahu mengenai cara bagaimana mahu menyelesaikan masalah orang-ramai. Masalah masyarakat yang tidak selesai, belum selesai dan separuh selesai ini berpunca daripada kegagalan media yang seimbang untuk beroperasi secara adil.

Ruwaibidhah inilah yang dengan takburnya mengangkat suara: "Perjuangan belum selesai!"

Mahu selesai bagaimana sedangkan mereka inilah antara penyumbang saham terbesar dalam usaha meruntuhkan tamadun bangsa ini. Suara-suara untuk menegur dihalang. Yang ingin membuat pembaharuan dipecat, dan dikenakan pelbagai tindakan.

Sebenarnya, banyaklah masalah rakyat yang belum selesai di bawah pemerintahan Ruwaibidhah ini. Ciri-ciri terakhir yang telah digariskan oleh baginda rasulullah ialah mereka ini tidak mengerti urusan orang-ramai. Mereka tidak tahu kerana tidak turun padang bagi menyelami hakikat sebenarnya.

Tak perlu ambil contoh urusan rakyat yang terlalu banyak. Ambil contoh PPSMI saja. Adakah Ruwaibidhah ini boleh turun menyamar dan betul-betul menyelidik mengenai susah-payah orang bawahan, guru-guru yang mahu melaksanakan PPSMI?

Ternyata Ruwaibidhah tidak tahu banyak kesukaran rakyat bawahan. Selain itu, orang yang ingin bercakap benar seperti guru-guru yang ingin melontarkan keluhan, tidak diizinkan bercakap di media dengan ugutan tertentu oleh Ruwaibidhah.

Malah, cendekiawan yang benar dalam kalangan GMP dituduh sebagai pendusta. Sedangkan si Ruwaibidhah ini pula dikatakan sebagai orang yang benar dalam ucapannya.

Tokoh-tokoh GMP sentiasa hadir dengan jumlah bilangan yang sama dan kehadiran mereka tidak berubah. Walhal Ruwaibidah telah berubah daripada Hishammuddin Hussein kepada Muhyiddin Yassin. Mengubah seorang Ruwaibidhah kepada Ruwaibidhah yang lain tidaklah mengubah apa-apa dasar itu pun.

Ini kerana Ruwaibidhah tetaplah digantikan dengan Ruwaibidhah. Salin pakaian dan baju sahaja sedangkan roh, jiwa serta pemikiran termasuk sistemnya tetaplah sama.

Adakah hal ini pun salah satu daripada strategi halus Najib juga untuk menyelamatkan sepupunya Hishammuddin dan supaya Muhyiddin terbeban dengan banyak hal dan akhirnya hal ini menjadi hujah untuk menyingkirkan Muhyiddin kemudian hari?

Ruwaibidhah Najib akan melakukan banyak sandiwara lakonan sepanjang pemerintahannya. Bermula rampasan kuasa di Perak, kemudian penarikan penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan dalam keadaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang masih dikekalkan, Ruwaibidhah ini masih lagi menyekat dan membataskan penyertaan suara.

Adalah perlu bagi Ruwaibidhah Najib menonjolkan kebaikannya buat sementara waktu. Tetapi gergasi Ruwaibidhah ini tidak boleh menipu para pengamal media yang terlalu cukup masin dengan pengalaman ketika menekuni tipu helah Najib dan fasih pula dengan sandiwara membebaskan 13 tahanan ISA itu.

Masa dan waktu, bersulam keinginan rakyat mencari ruang maklumat yang lebih banyak menyebabkan Ruwaibidhah akan hancur sedikit demi sedikit. Anai-anai maklumat inilah yang akan meruntuhkan tembok gergasi Ruwaibidhah Najib, insya Allah

Sepatutnya bersyukur, bukan Islam ungkap ayat Quran - Dr Azhar Yaakob

Dipetik dari Harakah, 16/4/2009

Bukan mencemuh apatah lagi menghina bukan Islam yang mengungkap ayat-ayat Quran malah wajarnya bersyukur dan memberi galakan untuk mereka mendekati dan memahami Islam.

Demikian kata pendakwah bebas Dr. Azhar Yaakob, sambil mengulas bahawa sudah pasti orang bukan Islam turut memahami serta menjaga sensitiviti umat Islam dengan mengkaji serta berlatih terlebih dahulu sebelum mengungkap ayat-ayat Quran termasuk mengetahui maksudnya supaya ianya tidak tersasar.

"Lainlah kalau mereka menghina, mempermainkan ayat Quran ataupun salah tafsir...itu kita tentang. Kalau nak ikut salah sebutan, ramai termasuk orang Islam sendiri banyak silap. Itu proses belajar, yang penting mereka ungkap untuk menceritakan bahawa ayat Quran suruh manusia berlaku adil.

"Pada saya mereka tidak salah, malah kita kena beri galakan dan tunjuk ajar pada mereka untuk mengenali Islam dengan lebih baik lagi, bukan mencemuh atau melarang membaca ayat-ayat Quran yang menjadi pentunjuk untuk umat manusia," kata Azhar lagi.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab kuliah agama yang diadakan di pejabat Harakah tengah hari tadi yang merupakan rutin setiap hari Khamis untuk kakitangan dan warga kerja Harakah.

Dalam kuliah selama satu jam itu, Azhar yang berkelulusan Ijazah Bahasa daripada Jordan serta Kedoktoran di bidang dakwah, turut menjelaskan kaedah dan sejarah dakwah untuk mendekati orang bukan Islam memahami agama Allah itu, yang sebelum ini dipandang negatif seperti ekstremis, fanatik, penggganas dan aneka label lagi.

Katanya, peristiwa 11 September 'World Trade Centre' itu, telah membuka mata masyarakat dunia khususnya bukan Islam untuk menkaji adakah benar propaganda bahawa Islam dan ayat-ayat Quran mengarahkan umat Islam melakukan keganasan.

Berpunca daripada itu, akhirnya di satu ketika, tanpa diduga indeks pembelian naskah al-Quran naik mendadak sekaligus ramai orang bukan Islam memeluk agama itu, kerana telah mendapati propoganda itu adalah sebaliknya dan meyakini kebenaran ayat-ayat Quran, katanya.

Menyambung isu ungkapan ayat al-Quran itu, kata Azhar sama ada hati seseorang itu ikhlas atau mempunyai niat lain, Azhar berkata itu persoalan dan urusan Allah SWT yang tentukan dan umat Islam wajar mengambil kira apa yang dilakukan secara zahir yang memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Kalau salah sebut, perbetul. Kalau hina, salah terjemah atau baca terbalik ke, kita tentang tetapi ini tidak.

"Kita sepatutnya mendoakan supaya sedikit demi sedikit terbuka pintu hati mereka dan bersyukur sebab perjuangan dakwah memperkenalkan Islam telah berjaya sehingga memikat hati orang bukan Islam untuk mengetahui maksud dan ayat-ayat Quran apatah lagi mengungkapnya," katanya.

Ketika menjawab satu soalan berhubung hukum orang bukan Islam menghadiri kuliah atau majlis agama di masjid, beliau menjelaskan bahawa sejarah Rasullullah s.a.w. membuktikan bahawa betapa ramai orang bukan Islam hadir di kuliah dan bersoal jawab dengan Nabi untuk mendalami hal Islam.

"Sudah banyak peristiwa orang bukan Islam membaca al-Quran untuk mendalami Islam dan ianya bukan pelik dan menghinakan. Kita tidak boleh kecam atau sekat mereka sebab itu bukan kaedah dakwah yang betul malah mengelirukan. Bagaimana nak mendekati jika kita awal-awal lagi sekat mereka?

"Kuliah Rasulullah sentiasa dihadiri oleh orang bukan Islam untuk bersoal jawab dan ini mesti kita galakkan sekarang supaya ilmu dan penjelasan tentang Islam difahami oleh semua pihak tanpa kira batasan agama," katanya yang mengakhiri kuliah kira-kira jam 1.30 petang tadi.