Tuesday, April 20, 2010

Bahaya fitnah dalam kehidupan

PERKATAAN fitnah berasal daripada kalimah Arab bermaksud perbuatan menuduh sesuatu perkara bersifat tidak benar atau dusta.

Dari sudut bahasa Arab, fitnah berasal daripada kalimah fatana yang dimaksudkan sebagai proses pengasingan emas tulen daripada bahan logam lain melalui proses pembakaran. (Lisan al-Arab, Beirut: Dar Sadir, m/s: 317). Menurut al-Quran, fitnah itu membawa konotasi makna yang pelbagai seperti kekafiran (syirik), kedustaan, kezaliman, kebinasaan, maksiat, ujian, peperangan, bencana, konflik, godaan dan sebagainya

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang yang zalim.” (surah al-Baqarah, ayat 193)

Fitnah bermaksud kedustaan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta. Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).” (surah al-An’aam, ayat 23)

Fitnah bermaksud kezaliman. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Lalu mereka berkata, kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.” (surah Yunus, ayat 85)

Fitnah bermaksud kebinasaan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata, izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab jahanam meliputi orang yang kafir.” (surah at-Taubah, ayat 49)

Jika dirujuk kepada pemahaman masyarakat kita mengenai fitnah, terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan perkara ini yang bermaksud: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya (di belakangnya) bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu menfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Perbuatan memfitnah itu lahir dari dalam hati individu yang penuh dengan sifat negatif dan keji seperti hasad, iri hati dan dendam. Masalah itu bermula daripada hati yang menjadi ‘ibu’ kepada setiap tindak tanduk manusia. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah s.a.w serta keluarganya, Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a tidak terlepas dari menghadapi ujian fitnah. Allah s.w.t merakamkan peristiwa ini menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu, tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).” (surah an-Nuur, ayat 11)

Jika dilihat fitnah itu adalah sebagai ujian dan cubaan. Sebelum ini kita digemparkan dengan keadaan di mana sebuah majalah mingguan agama lain menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka. Ketika itu, umat Islam didatangkan dengan cubaan. Benarlah kata sesetengah pihak bahawa kita sekarang berada di zaman fitnah. Pelbagai permasalahan yang timbul memerlukan umat Islam muhasabah diri agar imej Islam tidak tercalar dan maruah Islam tidak tergadai. Dalam menghadapi situasi ini, secara umumnya dapat dilihat pelbagai pihak terus bangkit menyuarakan ketidakpuasan hati umat Islam demi untuk menjaga martabat Islam daripada dirobek oleh orang lain. Perkara itu mahu diselesaikan dengan cara yang agresif dan tegas, manakala pihak yang lain memilih untuk menggunakan kaedah diplomasi dan perundangan.

Malah, kesatuan dan semangat bersama umat Islam tampak lebih jelas melalui isu berkenaan. Namun, perkara yang harus kita ambil perhatian, kadang-kala tindakan agresif kita yang melampau membuatkan pihak lain mengambil peluang dan ruang memburukkan imej Islam. Kejadian beberapa buah gereja dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab haruslah dilihat oleh umat Islam sebagai satu situasi yang sedikit sebanyak mencalar imej Islam yang menjulang prinsip keadilan dan keharmonian.

Sungguhpun masih belum jelas, siapakah dalang di sebalik perbuatan terkutuk itu, kita sewajarnya sedar bahawa mungkin juga perkara itu disebabkan tindakan kita yang terus agresif tanpa menghiraukan nasihat pihak berkuasa.

Harus difahami, bertenang bukanlah bermaksud kita mengambil enteng terhadap isu ini, namun kebijaksanaan dalam menghadapi ujian dan cabaran di zaman fitnah mutakhir ini semestinya dapat mengelak kejadian yang lebih buruk daripada berlaku.

Sebagai umat Islam yang sentiasa teguh mempertahankan kesucian dan ketinggian agamanya, marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku kita bagi mendepani seribu satu ujian dan cabaran yang semestinya tidak akan berhenti di sini.

Kerap kali kita merasakan, jika kita yang menjadi mangsa fitnah, maka musnahlah bagi yang membuat fitnah itu. Tetapi adakah kita sedar, kadangkala tindak-tanduk dan pertuturan kita yang membuka ruang untuk kita terus difitnah

15 Fakta konspirasi malaysia-Israel


Hubungan Malaysia-Israel merupakan isu yang sensitif bagi umat Islam di Malaysia dan boleh mencetuskan pergolakan politik kepada parti pemerintah Barisan Nasional/UMNO. Malaysia dan kebanyakan negara Islam tidak mengiktiraf negara Israel. Sebarangan hubungan dengan Yahudi Amerika turut ditafsir Malaysia mengiktiraf negara Israel.

Selepas Perjanjian Kem David antara Presiden Mesir Anwar Sadat dengan Perdana Menteri Israel Menachem Begin pada 17 September 1978, banyak negara Islam telah mengiktiraf negara itu. Beberapa fatwa telah dikeluar oleh ulama Mesir untuk menghalalkan perjanjian tersebut.

Negara Israel ditubuhkan pada 1947 sedangkan Malaysia ditubuhkan pada 1957. Kedua-dua negara ini adalah bekas tanah jajahan British. British menguasai Mesir (1914), Terusan Suez dan Baitul Maqdis pada 11 Disember 1917.

Kedua

Jarak negara Israel dengan Malaysia sangat jauh tetapi realitinya sangat dekat. Majoriti rakyat Malaysia yang berugama Islam telah berpihak kepada bangsa Arab di bumi Palestin yang berugama Islam. Sedangkan Israel merupakan negara baru yang ditubuhkan pada 1948 selepas Perang Dunia Kedua hasil tajaan Britain.

Dalam al Quran, Israel merujuk kepada Bani Israel yang degil dan menyeleweng. Ramai Nabi dan Rasul dari keturunan Israel seperti Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ishak, Nabi Musa dan lain-lain. Sedangkan Nabi Muhamad keturunan Arab. Yahudi, Kristian dan Islam adalah agama samawi yang muncul di Semenanjung Arab. Baitul Maqdis menjadi kota suci Yahudi dan Kristian dan kota suci ke-3 bagi umat Islam. Kota ini juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Kaabah di Makkah oleh Nabi Muhamad.

Ketiga

Jabatan Imigresen Malaysia menetapkan negara Israel haram dilawati oleh rakyat Malaysia. Ini kerana Israel merupakan negara baru yang ditubuhkan di bumi Arab Palestin yang berugama Islam. Perang Iarael - Palestin yang berterusan menyebabkan kawasan itu sangat berbahaya. Sementara China dilarang dilawati kerana China menyokong perjuangan Parti Komunis Malaya. Korea Utara dan Afrika Selatan juga termasuk 92 negara yang dilarang. tetapi kini hanya tinggal Israel sahaja.

Pada 6 Julai 1994, Pengerusi Kumpulan Melewar Corporation Bhd. dan MBf, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman telah membuat pengakuan bahawa beliau telah berkunjung ke Israel pada bulan Jun 1994. Pengakuan Tunku Abdullah ini telah disiarkan dalam Utusan Malaysia dan mengejutkan ramai pihak. Beliau dikatakan rakyat Malaysia pertama melawat negara Israel sejak 1957. Tunku Abdullah merupakan adik kepada Yang diPertuan Agong.

Pada 17 Julai 1994, Berita Harian melaporkan Tunku Abdullah dijemput menemui Yizhak Rabin dan Shimon Peres. Potensi pelancongan rakyat Malaysia ke Baitul Maqdis amatlah besar. Dalam kes Gilad Feldman dari Israel, beliau tidak dapat hadiah utama 2GB iPod Nano dari “LiewCF.com Survey 2006” kerana tidak ada hubungan antara Malaysia dengan israel.[1]

Pada 21 Mac 1997 pasukan kriket Israel dibenarkan menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu di Kuala Lumpur. Kebenaran itu diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia , Dr Mahathir Mohamad atas semangat kesukanan .Mereka hadir dalam Kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC). Kehadiran mereka mengundang demontrasi oleh mahasiswa di perkarangan Universiti Malaya. Turut ditahan ialah Mahfuz Omar dari PAS.

Pada 29 Julai 2008 Pasukan bola sepak Chelsea dari Britain yang melakukan perlawanan persahabatan dengan Malaysia mengundang kontroversi. Ini kerana pasukan itu mempunyai dua warga Israel iaitu pengurus pasukan, Avram Grant dan pemain pertahanan, Tal Ben Haim.

Keempat

Cendekiawan dan jutawan Yahudi dari Jerman dan seluruh dunia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana dasar bebas negara tersebut.Bilangan Yahudi Amerika kecil sahaja tetapi menjadi pelobi dasar luar Amerika yang cukup berjaya. Survival dan keselamatan Israel di bumi Arab menjadi teras dan tidak pernah berganjak sejak 1948.

Tekanan ketenteraan dan politik dikenakan kepada negara Islam yang kuat seperti Iraq, Iran, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Malaysia dan lain-lain. Israel bagaikan wilayah Amerika Syarikat itu sendiri atau proksi Amerika di Asia Barat.

Negara-negara Islam melalui OIC dan PBB mengemukakan pelbagai usul berhubung Iarael dan Palestin tetapi sentiasa ditangguhkan atau diveto oleh Amerika Syarikat. Kebanyakan negara Islam yang kuat mengambil sikap pro Amerika dan bertelagah sesama sendiri dalam OIC.

Kelima

Malaysia berpendapat Perang Arab Israel perlu ditamatkan dan biarkan rakyat asal menentukan arah tuju negara Palestin mahupun Israel. Malaysia amat mengharapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikan masalah Iarael-Palestin. Tetapi anggota Majlis Keselamatan PBB sentiasa sahaja tidak memihak kepada OIC atau tidak dikuatkuasakan. Kejayaan Razali Ismail menyertai Majlis Kesrelamatan PBB juga tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Malaysia sebuah negara yang kecil dan sedang membangun , penduduk 27 juta tidak mampu memberikan tekanan politik dan ketenteraan kepada Israel, Britain apalagi Amerika Syarikat. Malaysia selesa menjadi ahli Komanwel dan NAM. Dasar berkecuali ini dilakukan oleh Malaysia sejak Tunku Abdul Rahman hinggalah ke era Tun Dr Mahathir.

Jarak yang jauh menyukarkan Malaysia terlibat dalam Perang Arab-Israel.

Pemimpin kerajaan dan pembangkang di Malaysia dilihat hanya berkokok di luar tanpa sebarang penghantaran tentera atau logistik. Berbanding dengan Mesir, Jordan, Syria, Libya dan Turki, peranan Malaysia amat pasif sekali. Negara Arab ini bersempadan daratan dengan Israel khususnya Mesir, Jordan dan Syria.

Keenam

Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain tidak begitu memahami sejarah kewujudan Israel. Memandangkan Orang Melayu berugama Islam , maka mereka patut menyokong Arab/Palestin yang berugama Islam.

Pada peringkat awal, perang ini dilihat sebagai perang antara Islam dan Yahudi. Kemudian bertukar kepada perang Arab-Israel. Seterusnya ditafsir sebagai perang israel-Palestin. Apabila PLO lantang di Palestin, perang ini dilihat antara Israel-PLO. Sekarang perang ini dilihat antara Israel-Hamas atau perang Israel-Hisbollah sahaja.

Bagi menjelaskan isu dan sejarah perang ini, Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan buku khas berhubung sejarah kewujudan Israel ini dan mengapa Malaysia tidak menyokong Israel dan menyokong Palestin.

Ketujuh

Pada 10 September 1982, dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-33, Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau dan setiausaha politiknya menjadi ahli dan penyokong gerakan sulit Yahudi/Israel iaitu Freemason. Freemason agalah kelab elit rahsia di banyak negara bagi menentukan kelangsungan dan kewujudan negara Israel. Ada tuduhan , ahli Freemason menjadi pekerja sukarela pilihan raya UMNO sejak 1974 lagi. Freemason didsftarkan di Malaysia di bawah Akta Pertubuhan 1966. Tahun 1977 Freemason mempunyai 55 lodges ( komuniti) dan 2984 ahli.

Pada 25 Oktober 1978 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Malaysia, Hussein Onn menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak berhasrat mengharamkan pertubuhan Freemason. Walaupun mengakui Freemason bercanggah dengan aqidah Islam dan ramai golongan elit berpengaruh menyertainya. Jawapan ini diberikan berikutan soalan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat, wakil PAS dari Pengkalan Chepa, Kelantan. [2]

Kelapan

Walaupun Singapura telah lama disingkirkan dari Malaysia, ramai rakyat Malaysia mahu menentukan hala tuju Singapura. Lee Kuan Yew mahu Singapura menggunakan teori terkepung iaitu di kelilingi negara Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand. Singapura terpaksa membangunkan angkatan bersenjata dengan bantuan Israel yang juga 'terkepung'.

Lee Kuan Yew mengarahkan Goh Keng Swee untuk menghubungi Mordechai Kidron, Duta Israel di Bangkok pada 9 September 1965, hanya beberapa bulan setelah pemisahan Singapura dari Malaysia. Bukan Singapura yang aktif untuk meminta Israel masuk, tapi Israel lah yang pertama kali menawarkan diri agar bisa terlibat secara aktif di wilayah Asia Tenggara. Singapura adalah tangan Israel di Asia Tenggara.[3]

Selepas Perang Yom Kippur, Singapura membeli 72 kereta kebal MX-13 light dari Israel yang kononnya berlebihan. Sedangkan Malaysia tidak memiliki sebuah pun ketika itu.Pada Mei 1969 Singapura membenarkan Israel membuka kedutaan di Singapura. Singapura juga membeli satelit Indosat dari Indonesia. Angkatan bersenjata Singapura berjaya dibangunkan dengan bantuan 18 pegawai tentera Israel. [4]

Pada November [1986] ,Presiden Israel Chaim Herzog dari Israel melawat negara sahabatnya Singapura. Pesawat Israel terpaksa melalui ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Changi. Tentangan rakyat Malaysia berhubung penggunaan ruang udara ini tidak diendahkan oleh Dr Mahathir kerana tidak mahu dilihat terlalu anti-Yahudi. Bantahan dari Brunei, Indonesia dan Malaysia ini tidak dipedulikan oleh kerajaan Singapura.

Chaim Herzog menjadi tentera pejuang Israel dalam perang 6 hari antara Israel dengan Mesir dan Syria pada 26 Oktober 1973. Perang ini dikenali juga dengan nama Perang Yom Kippur atau perang Ramadan. Israel menang mutlak dalam perang ini. Malahan Israel menguasai Bukit Golan, Tebing Barat , Semenanjung Gaza dan Gurun Sinai.

Pada Oktober 1993, Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin melawat Singapura dan merupakan perdana menteri Israel pertama melawat negara itu. Yitzhak juga melawat Indonesia. Ketika ini tidak ada lagi bantahan dari rakyat Malaysia. [5]

Kesembilan

Dr Henry Kissinger merupakan seorang Yahudi Amerika yang telah menjadi Setiausaha Amerika Syarikat. Pada 6 Mac 1987 ,pengerusi ISIS , Dr Noordin Sophie telah mengatur pertemuan antara Dr Mahathir dengan Dr Henry Kissinger dalam Perbincangan Meja Bulat Kuala Lumpur.

Kesepuluh

Hubungan Malaysia-Israel merupakan isu yang sensitif bagi umat Islam di Malaysia dan boleh mencetuskan pergolakan politik kepada parti pemerintah Barisan Nasional/UMNO. Malaysia dan kebanyakan negara Islam tidak mengiktiraf negara Israel. Sebarangan hubungan dengan Yahudi Amerika turut ditafsir Malaysia mengiktiraf negara Israel.

Selepas Perjanjian Kem David antara Presiden Mesir Anwar Sadat dengan Perdana Menteri Israel Menachem Begin pada 17 September 1978, banyak negara Islam telah mengiktiraf negara itu. Beberapa fatwa telah dikeluar oleh ulama Mesir untuk menghalalkan perjanjian tersebut.

Negara Israel ditubuhkan pada 1947 sedangkan Malaysia ditubuhkan pada 1957. Kedua-dua negara ini adalah bekas tanah jajahan British. British menguasai Mesir (1914), Terusan Suez dan Baitul Maqdis pada 11 Disember 1917.

Kesebelas

Pada Mei 1994 , Parlimen Malaysia meluluskan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang menarik balik sekatan import terhadap barangan Israel dan Afrika Selatan.

Tahun 1967, import Israel dari Malaysia meningkat lebih sekali ganda dari 272,000 dolar US dalam tahun 1966 kepada 565,000 dolar US tahun 1967. Dalam waktu yang sama eksport Israel ke Malaysia bertambah dari 1.1 juta dolar US kepada 1.7 juta dolar US.

Pada 7 April 1994, Malaysia mengharamkan filem Schindler's List , hasil arahan __ . Filem panjang ini menceritakan nasib malang Yahudi Jerman yang disiksa oleh tentera Nazi Jerman.[6][7]

Pada Ogos 1984 ,persembahan New York Philharmonic yang sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur telah dibatalkan. Komposernya ialah Ernst Bloch, seorang Yahudi.[8]

Keduabelas

Pada 6-9 Julai 1994 Dr Mahathir mengadakan pertemuan sulit dengan Perdana Menteri Israel, Yithzak Rabin dan Menteri Luarnya, Shimon Peres yang sama-sama menginap di Hotel De Crillion, Perancis. Laporan berita oleh TV Israel dan AFP dinafikan oleh Dr Mahathir dengan alasan beliau ke sana semata-mata kerana lawatan rasmi ke Perancis, lagipun katanya beliau tinggal di tingkat 3 manakala Rabin berada di tingkat 2. Akhirnya Mahathir mengakui bahawa beliau ada juga berhubung dengan Rabin, tetapi hanya melalui surat.

Pada 26 September , Menteri Luar Malaysia , Syed Hamid Albar bersalam dan berbincang dengan rakan sejawatan dari Israel , Devid Levy di New York. David Levy baru dilantik oleh Perdana Menteri Israel , Ehud Barak. David Levy merupakan Yahudi kelahiran Maghribi. Mereka berbincang berhubung perdamaian Arab/Palestin - Israel ketika sesi Perhimpunan Agung PBB. Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar melalui surat khabar Harakah mengecam pertemuan ini. PAS melabelkan Israel sebagai negara pengganas.Sokongan kerajaan Malaysia kepada perjuangan Palestin adalah "empty pledge" . [9] [10]

Pada 16 Ogos 1999, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia telah mengutus surat tahniah kepada Ehud Barak yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Israel. Bagaimanapun surat ini tidak dapat disahkan.

Anwar Ibrahim dihantar ke negara-negara Islam untuk berceramah topik Islam dan demokrasi. Peranan ini diberikan oleh Council of Foreign Relations, New York. Semasa menjadi Menteri Kewangan Malaysia, Anwar Ibrahim telah hubungan dengan Wolfowitz , seorang Yahudi Amerika.

Pada Jun 2009, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak pada satu majlis koktail semasa Pertunjukkan Udara Paris di Perancis. Zahid mengenakan beberapa syarat pertemuan iaitu seperti tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard" kerana bimbang disalahtafsir.Jika Israel menghulurkan tangan untuk mewujudkan keamanan, jangan pula tangan kiri melakukan keganasan ke atas rakyat Palestin, Lubnan, Syria , Mesir dan lain-lain.Pertemuan dibangkitkan semasa Zahid berada di Beirut pada 17 Julai 2009. [11]

Zahid meninjau lokasi 340 anggota [Angkatan Tentera Malaysia] (ATM) yang menyertai Kontinjen Malaysia (Malcon) dan berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memastikan keamanan berterusan di sempadan Lubnan-Israel. Menteri Pertahanan Lubnan, Elias Al-Murr sedia membeli peralatan ketenteraan biasa, kenderaan tentera dan bukan berbentuk "offensive".[12]

Ketigabelas

Pada 17 Oktober 2003, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia menggesa umat Islam bersatu menentang Yahudi. Seruan itu dibuat semasa Persidangan OIC ke-57 di Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Presiden Russia, Vladimir Putin. Remaja Islam hendaklah menghindari serangan barani mati . Tafsiran semula al Quran hendaklah diusahakan supaya selaras dengan perkembangan sains dan teknologi. [13] Pada 21 Oktober 2003 dalam temubual dengan The Bangkok Post , Dr Mahathir menjelaskan beliau bukan anti-Semetic. Israel sebuah negara yang kecil dan tidak ramai Yahudi di dunia ini.

Tetapi mereka mengawal dunia.. Beliau menegaskan Malaysia telah menjemput pasukan kriket dan pelajar sekolah Israel datang ke Malaysia. Ini menunjukkan bahawa mereka selamat di sebuah negara Muslim dan tidak akan dibunuh. Banyak media cetak dan elektronik dikuasai oleh Yahudi. Orang Islam digambarkan sebagai pengganas .Umat Islam kuat kerana berjumlah 1.3 bilion dan tidak mudah dimusnahkan.Sebaliknya Eropah lah yang membunuh 6 juta Yahudi semasa Holocaust dan kini bermati-matian mempertahankan Israel.

Sebenarnya orang Eropah yang anti-Yahudi dan anti-Semitic. Yahudi yang berjumlah 12 juta telah memerintah dunia melalui proksi.[14] Jonathan Peled selaku jurucakap Menteri Luar Israel kesal dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia itu dan retorik Mahathir seperti itu bukanlah baru. [15]

Ketika Krisis Kewangan Asia 1998, Dr Mahathir menyalahkan konspirasi Yahudi Amerika bernama George Soros. George Soros dikatakan telah melancarkan pembelian saham dan jualan singkat sehingga menyebabkan bursa saham Malaysia jatuh merudum.Dr Mahathir tidak menyalahkan Yahudi tetapi realitinya Yahudi / Soros berada di belakang masalah ini. Tetapi pada 2006, Dr Mahathir telah bertemu dengan George Soros di Kuala Lumpur.Anaknya Marina Mahathir juga telah menemui Soros dalam pertemuan itu.

Pada 21 Februari 2006, The Los Angeles Times melaporkan pada pelobi Yahudi, Jack Abramoff telah menerima $1.2 juta dari kerajaan Malaysia kerana mengatur pertemuan antara Dr Mahathir dengan George W.Bush pada Mei 2002 di pejabat Oval . Dr Mhathir mengesahkan laporan tersebut tetapi wang tersebut bukan wang kerajaan Malaysia. Abramoff telah menghubungi Karl Rove , iaitu penasihat Presiden Amerika Syarikat. [16]

Keempat belas

Saham 31 % Pantai Holding Berhad telah dijual kepada Parkways Holdings Limited iaitu syarikat milik pelobi Zionis bernama Richard C Blum. Pantai mempunyai 6 buah hospital swasta di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Cheras, Klang,Ipoh, Pulau Pinang dan Batu Pahat. [17]

Syarikat MITV milik Israel di Singapura memenangi lesen penyediaan 3G di Malaysia. MITV mengalahkan syarikat lain yang lebih layak seperti DiGi. 5 % saham Telekom Malaysia dijual kepada Temasek Holdings. Sistem keselamatan dan ketenteraan Singapura adalah kembar Siam dengan ketenteraan Israel. [18]

Konvoi Malaysia turut terlibat dalamViva Palestina pergi ke Gaza pada 2009 . Datin Seri Rosmah Mansur telah menghubungi Susan Mubarak di Mesir bagi membebaskan peserta Viva Palestin dari Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mahfuz Omar mempertikaikan kewajaran Datuk Seri Najib Tun Razak melantik firma konsultan komunikasi APCO Worldwide untuk mempromosikan nama dan jenama Malaysia. Anwar mahu Najib menjelaskan kaitan antara 1Malaysia dengan One Israel . Tuduhan Anwar itu boleh menyebabkan Anwar digantung selama setahun kerana memfitnah.[19][20]

Laman web Chegu Badrul Hisham Shahrin mempersoalkan Asiasoft (M) Sdn. Bhd. (no. Syarikat : 150529-H) berpangkalan di Singapura yang mendapat tender RM42 juta. Beliau curiga maklumat keselamatan, pertahanan dan data sulit PDRM akan terlepas kepada ‘programmer’ tentera Israel. Izhak David Naskar memegang pasport Israel bernombor 10902695 itu masih lagi warganegara Israel. Beliau adalah pakar komputer dan telah memenangi anugerah daripada Kementerian Pertahanan Israel. Beliau membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel sekitar 1970 hingga 1987.

Seorang lagi ialah yang membina sistem komunikasi PDRM ialah Ido Sccheschter yang memegang pasport Israel bernombor 56626252. Beliau masih lagi seorang tentera Israel yang sah bukannya tentera pencen.[21] Pada 6 April 2010, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti bahawa ejen Israel wujud dalam PDRM.[22][23].

Pada 13 April 2010,Datuk Wira Abu Seman Yusop menjelaskan di Parlimen bahawa kesemua pekerja yang terlibat dalam pembangunan projek "Police Reporting System" (PRS) PDRM terdiri daripada warga tempatan kecuali seorang warga India.Fasa 1 dan Fasa 2 oleh Sapura System Sdn Bhd (SSSB).

Fasa 3 oleh Masterplan Consulting Sdn Bhd (MPC) yang melantik subkontraktor iaitu Asiasoft (M) Sdn Bhd. 70 % saham syarikat ini dimiliki rakyat Malaysia dan bakinya dimiliki Asiasoft (S) Pte Ltd. Selepas Ogos 2007, 100 % saham milik Asiasoft (S) Pte Ltd telah diambil alih oleh Asiasoft Global Pte Ltd yang berdaftar di Singapura dan bukannya di Tel Aviv, Israel. Asiasoft Global Pte Ltd dimiliki seorang rakyat Singapura iaitu Toh Kian Hong (49 %) dan Top Image Systems Ltd (TIS) (51 %).Dua daripada anggota lembaga pengarahnya adalah rakyat Israel. Fasa 3 telah disiapkan pada Oktober 2006, sebelum penstrukturan. Selepas siasatan, subkontraktor Asiasoft (M) Sdn Bhd ditamatkan pada 31 Dis 2008.
[24]

Kelima belas

Police Reporting System (RPS) dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2006.Projek PRS adalah berkaitan sistem menerima laporan polis melalui sistem komputer yang dibekalkan di balai-balai polis di seluruh Semenanjung Malaysia melalui tiga fasa mengikut zon. Sistem PRS bagi Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dalam Fasa 4.

Pada 13 April 2010, di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop menjelaskan bahawa siasatan dalaman PDRM mendapati kesemua pekerja yang terlibat dalam pembangunan projek PRS terdiri daripada warga tempatan kecuali seorang warga India.

Fasa 1 dan Fasa 2 dibuat oleh Sapura System Sdn Bhd (SSSB) .Fasa 3 dibangunkan oleh Masterplan Consulting Sdn Bhd (MPC) yang telah melantik subkontraktor iaitu Asiasoft (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan sebahagian aplikasi sistem PRS. 70 % saham Asiasoft (M) Sdn Bhd milik rakyat Malaysia dan 30 % dimiliki Asiasoft (S) Pte Ltd. Semua pekerja yang terlibat adalah terdiri daripada warga Malaysia dan tidak ada sama sekali pekerja-pekerja dari Asiasoft (S) Pte. Ltd.

Namun selepas Ogos 2007, 100 % saham milik Asiasoft (S) Pte Ltd telah diambil alih oleh Asiasoft Global Pte Ltd yang berdaftar di Singapura dan bukannya di Tel Aviv, Israel. 49 % saham syarikat Asiasoft Global Pte Ltd dimiliki oleh Toh Kian Hong seorang rakyat Singapura.Baki 51 % saham dimiliki Top Image Systems Ltd (TIS) yang mana dua daripada anggota lembaga pengarahnya adalah rakyat Israel.

RPS Fasa 3 siap pada Oktober 2006. Penstrukturan selepas Ogos 2007, jadi tidak ada kemungkinan terlibat perisik Israel dalam projek RPS. Selepas siasatan PDRM, perkhidmatan subkontraktornya iaitu Asiasoft (M) Sdn Bhd ditamatkan pada 31 Disember 2008. [25]

Friday, April 2, 2010

Mudahnya mengeluh, sukarnya bersyukur

Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.

Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit" Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?" Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur" Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah" jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"

SubhanaLlah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin...

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

Adakah Kita Ikhlas?

http://idhamlim.blogspot.com

Kita semua maklum bahawa keikhlasan itu menjadi pra-syarat untuk apa-apa amalan kita diterima oleh Allah swt. Kerana kita inginkan amalan kitalah yang bakal menjelma sebagai makhluk yang indah bila kita di dalam alam barzakh nanti, kita berharap agar amalan kitalah yang dapat membela kita pada hari pembalasan kelak.

Sudah tentu, niat pada permulaan kita membuat sesuatu, hinggalah ke akhirnya perlulah hanya kerana Allah semata-mata. Tidak kira amalan itu menyentuh perkara peribadi mahupun dalam kehidupan berdakwah. Namun, ibarat kita hendak mengenal samada kita sudah terkena penyakit 'chicken pox' dsbnya, ada tanda-tanda yang dapat menolong kita memastikan adakah benar kita ini ikhlas.

Antaranya :-
1. Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.

2. Kita tidak berasa hati apabila usaha dikritik oleh manusia.

3. Kita tidak berasa bangga bila dipuji.

4. Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.

5. Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.

6. Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.

7. Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau dicaci manusia.

8. Di dalam organisasi/jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.

9. Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.

10. Tidak marah malah gembira, bila muncul seorang yang baru menjadi ketua (namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah)

Begitulah antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan. Ini hanyalah panduan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan amalan diri kita sendiri bersih dari sifat ria', taajub, takabbur dan seumpamanya. Pekerjaan yang zahirnya baik, tetapi jika diselimuti oleh segala sifat yang batil tersebut, maka sia-sialah di sisi Allah swt.

Hatta mereka yang berperang di saff hadapan dan mati di medan peperangan. Walau bagaimanapun, atas kelemahan manusia, tidak layak sebenarnya untuk menilai atau menghukum orang lain ikhlas ataupun tidak.

Dalam satu kata-kata ulamak, ada ulamak yang mengatakan untuk membayangkan ikhlasnya seseorang itu seperti seekor semut yang hitam yang berjalan diatas batu yang hitam pada waktu malam ( yg pekat legam ). Betapa besarnya hati manusia itu, apa bila merasakan hatinya itu ikhlas terhadap Allah ta'ala.

Perlu diingatkan juga, dalam satu hadith Nabi saw telah bersabda "3 golongan yang tidak diterima Allah Ta'ala untuk masuk ke syurga, kemudian ditanya kepada nabi apakah golongan itu, maka nabi menjawab

1. Orang-orang kaya menginfaqkan ( sedekah ) sebahagian hartanya di jalan allah, tetapi tidak ikhlas.

2. Orang-orang yang berjihad di jalan Allah, mahupun perang atau sebagainya.

3. Orang-orang alim ulamak yang menyampaikan ilmu itu tetapi tidak ikhlas kerana Allah ta'ala"

Jadi sahabat dan sahabiah yang dirahamtilah Allah sekalian dapat kita renungkan betapa besar ikhlas tu perlu wujud pada hati masing. Syaitan sentiasa merasuk diri anda supaya mengkianati Allah Ta'ala. oleh itu sentiasalah menyucikan jiwa anda dari perasaan hasad dan dengki serta riak yang membinasakan diri kita di akhirat kelak.
Kita hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Allah swt yang Maha Mengetahui dan hanya Allah swt sahajalah yang berhak membalas segala amalan. Samada amalan yang baik atau sebaliknya.

Sama-samalah kita berdoa:

Ciri2 Wanita Solehah


Rasulullah bersabda,'Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah'. (Riwayat Muslim).*

Ciri-ciri wanita solehah.

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita untuk menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima habuan syurga yang penuh keni'matan dari Allah s.w.t. . Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat sahaja, iaitu:

1. Taat kepada Allah dan RasulNya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut:

1- Taat kepada Allah dan RasulNya

- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki ajnabi kecuali ada bersamanya mahramnya.
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan takwa
- Berbuat baik kepada dua ibubapa
- Sentiasa bersedekah samada dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki ajnabi
- Bersikap baik terhadap jiran tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya semasa suami tiada di rumah.
- Tidak cemberut di hadapan suami.
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami.
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya.
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan fizikal dan kecantikannya serta kebersihan rumahtangga.

FAKTOR YANG MERENDAHKAN MARTABAT WANITA

Apabila kita melihat bahawa punca rendahnya martabat wanita adalah datangnya dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaiamana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1- Lupa mengingati Allah

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairan jika ramai wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingati Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: Ertinya: " Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: Ertinya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan sahaja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu, muzakrah atau sebagainya.

2- Mudah tertipu dengan keindahan dunia

Keindahan dunia dan keseronokkannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan setakat itu sahaja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Bukan sedikit yang sanggup menderhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana keni'matan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An'am: Ertinya:" Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir."