Setiap dari kita adalah hamba. Hamba yang punya Pencipta. Dialah yang mengatur segala-galanya apa yang ada di langit dan di bumi. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah juga yang memberi rezeki kepada semua makhluk ciptaan-Nya.
Dialah Allah SWT.
Menjadikan Allah SWT sebagai matlamat seorang hamba adalah satu kewajiban. Bagaimana mahu meletakan-Nya sebagai matlamat utama kita?
Ikhlaskan setiap percakapan, perbuatan dan setiap ibadah kita kerana Allah SWT. Firman-Nya, “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta Alam.” (Surah al-An’am: 162)
Tidak cukup dengan itu, yakinlah di dalam lubuk hati kita bahawa syariat Allah SWT itulah petunjuk, penyelamat, dan sempurna. Apa yang ada selain syariat Allah SWT, iaitu sistem undang-undang manusia adalah tidak kekal dan bukanlah penyelesai.
Bahkan, ada yang menyesatkan.
Firman Allah, “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Surah al-Ma’idah: 49-50)
Penyerahan kepada Allah SWT adalah sebenar-benar penyerahan. Patuh kepada setiap suruhan dan tinggalkan segala apa yang ditegah-Nya. Dia Maha Pencipta, maka Dia berhak melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya.
Dia juga Maha Bijaksana. Maka Dia meletakkan sesuatu pasti pada tempatnya, yang bersesuaian.
Lihatlah peribadi Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab dalam kepatuhan kepada perbuatan Rasulullah SAW ketika mencium Hajarul Aswad. Hakikatnya, beliau tidak mengetahui apakah hikmah mencium batu itu. Apa yang beliau katakan?
“Aku mengetahui bahawa engkau adalah seketul batu yang tidak membawa mudarat dan tidak memberi manfaat. Kalaulah tidak kerana aku telah melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akanm menciummu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yakinlah. Bahawa Dia Yang Menghidupkan dan Dia juga Yang Mematikan. Dia Yang Memuliakan dan Dia juga Yang Menghinakakan. Dia Yang Memberi Manfaat, Dia Yang Memberi Mudarat.
Setiap apa yang berlaku adalah keputusan-Nya.
Cukuplah kepada orang Mukmin, didatangkan kepadanya firman Allah SWT,
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”(Surah al-Baqarah: 155-157)
Terakhir, tidak akan sempurna matlamat itu sekiranya tidak menjadikan redha dan rasa takut kepada Allah SWT sebagai matlamat utama.
Ketepikan redha, amarah, celaan, mahupun pujian manusia.
Firman Allah SWT, “…Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah: 62)
Moga tercapai matlamat kita.
Untuk menjadi hamba hanya kepada-Nya.
Untuk menjadi hamba hanya kepada-Nya.
Copy from : http://www.raziffuad.com