Friday, March 26, 2010

Jom Heboh Kelantan: Satu contoh karnival yang berunsurkan dakwah




Apabila disebut program Jom Heboh tentunya kita terbayang aksi artis lelaki dan perempuan terlonjat-lonjat di atas pentas.

Namun, lain pula dengan Jom Heboh yang akan diadakan di sini pada 26 dan 27 Mac ini, tiada artis wanita ditampilkan pada konsert yang akan diadakan.

Sebaliknya konsert itu pada malam 27 Mac hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Selain itu, difahamkan tiada siaran langsung dibuat bagi konsert berkenaan seperti dilakukan TV3 di negeri-negeri lain sebelum ini.

Kelainan juga dapat disaksikan apabila tempat duduk di antara lelaki dan wanita diasingkan pada persembahan konsert terbabit.

Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, pihak penganjur telah memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Mereka bersetuju untuk mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998 yang dikuatkuasa di negeri ini.

“Datuk Takiyuddin Hassan sebagai anggota Exco yang bertanggungjawab memberi penekanan mengenai perkara itu pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini,” katanya.

Karnival Jom Heboh TV3 sebelum ini lebih dikenali sebagai Sure Heboh diadakan di seluruh negara kecuali Kelantan.

Bagaimanapun, TV9 pernah menganjurkan program Sua Rasa dan Perkampungan Hadhari di Kota Bharu sebelum ini tanpa melibatkan percanggahan dengan dasar kerajaan negeri.

Program Jom Heboh akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dengan menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan negeri dan agensinya.

Nasruddin juga berkata, sebuah khemah besar yang dinamakan sebgai Kota Ilmu disediakan pihak penganjur untuk dijadikan tempat solat dan pameran program Jejak Rasul.

“Pemangku Raja hadir pada program al Kuliyyah yang disiarkan secara langsung pada petang 26 Mac yang diadakan di khemah tersebut.


“Selain itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco dijemput untuk mengisi program Talk Show,” katanya.

Program dua itu bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan terbabit dalam pameran dan aktiviti interaktif iaitu Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusetia Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Pusat Penerangan Pelancongan.

Sumber : Harakahdaily

No comments: