Tuesday, June 4, 2013

Ibrah dari medan Tabuk

BANYAK peristiwa sirah yang boleh kita pelajari dari bulan Rajab. Selain himpunan pengajaran dalam peristiwa Israk Mikraj, peperangan Tabuk adalah antara medan yang turut berlaku dalam bulan Rajab.

Peperangan Tabuk adalah medan terakhir yang disertai oleh baginda Rasul Allah S.A.W sejurus sebelum kewafatan baginda. Selain medan Tabuk itu sendiri, peristiwa-peristiwa sebelum dan sesudah peperangan tersebut baik untuk diambil iktibar sebagai pedoman.

Perjanjian Hudaibiah telah member ruang yang cukup luas kepada baginda Rasul Allah S.A.W dan para sahabat meyusun gerakan dakwah di seluruh tanah Arab. Satu demi satu utusan telah dihantar keluar dari Madinah sebagai duta kerajaan Islam menyampaikan risalah.

Dalam usaha tersebutlah, seorang utusan Rasulullah S.A.W yang bernama Harith Ibn Umair telah dibunuh semasa membawa risalah Islam di kawasan jajahan Rom. Pembunuhan ini telah menjadi antara faktor kepada gerakan tentera Mu’ta yang dipimpin oleh tiga panglima Islam iaitu Zahid Bin Harithah, Ja’far Abi Talib dan Abdullah Bin Rawahah.

Dalam masa melepaskan tentera pimpinan Zahid Bin Harithah ini, baginda Rasul Allah S.A.W telah memberi pesan yang amat bermakna. Antara pesanan baginda termasuklah betapa mereka perlu menjaga adab-adab peperangan seperti tidak memusnahkan tumbuh-tumbuhan, tidak membunuh mereka yang lemah, dan tidak sewenang-wenangnya membakar rumah atau kediaman.

Antara yang paling penting, pesanan Rasulullah S.A.W kepada tentera Mu’ta, ialah maranya mereka bukanlah kerana membalas dendam atas kematian Haris Ibn Umair. Lebih dari itu misi mereka hanya satu iaitu meletakkan kalimah tauhid sebagai matlamad. Demikianlah betapa umat Islam perlu mampu berhadapan dengan pengkhianatan dalam menyatakan kebenaran.

Sebagaimana Rasulullah S.A.W mendidik para sahabat untuk tidak tunduk dengan Ghassan yang membunuh utusan baginda, demikianlah perjuangan mendaulatkan Islam mesti sentiasa beriringan dengan ketegasan dan kebijaksanaan. Tegas dalam menyatasusakan pendirian atas dasar kebenaran dan bijak dalam mengatur gerakan.

Sesungguhnya peperangan Mu’ta telah memberi kesan psikologi yang mendalam kepada penduduk setempat yang dikuasai Rom. Rakyat yang selama ini ditindas oleh kekuasaan Rom telah mempunyai satu persepsi baru bahawa kekuasaan Rom tidak selamanya kekal dan keadilan Islam telah dilihat sebagai kuasa yang mampu menggantikan kezaliman kerajaan Rom.

Rom tidaklah dikatakan mengalami kekalahan mutlak dalam medan Mu’ta. Pun begitu ia  telah menjadi faktor utama kepada tindakan Rom mengatur gerombolan tentera yang lebih besar. Kebijaksanaan Khalid Al-Walid semasa mengakhiri medan Mu’ta cukup meninggalkan kesan yang memalukan kepada pemerintah Rom. Hasil risikan itulah, mendorong Rasulullah S.A.W dan para sahabat mengatur gerakan tentera untuk ke Tabuk.

Suasana peperangan Tabuk cukup mencabar. Selain jarak perjalanan yang jauh, waktu itulah pohon-pohon kurma mula berbuah dengan cuaca yang cukup panas. Pada saat itulah wajah-wajah sebenar mereka yang berjuang kerana Allah dan Islam diperlihatkan. Sejarah perjuangan telah membuktikan bahawa setiap cabaran kesusahan akan memperkuatkan penyatuan.

Dalam menempuh perjalanan jauh ke Tabuk, tentera muslimin telah juga melalui pelbagai peristiwa aneh. Paparan kejadian-kejadian tersebut banyak memaparkan bukti-bukti kerasulan Muhammad S.A.W dan membuktikan pertolongan Allah sentiasa beriringan dalam usaha mendaulatkan Islam.

Tabuk turut memaparkan betapa dalam perjuangan akan ada saja mereka yang culas. Ada yang digugat dengan rasa ragu dan tidak yakin, degil tidak mematuhi arahan, dan bermacam sikap yang menguji keteguhan setiap mereka yang berada dalam medan.

Medan Tabuk jugalah yang mencetuskan peristiwa tiga sahabat besar yang tidak menyertai peperangan. Sikap bertanggungjawab Kaa’b bin Malik, Murairah dan Hilal yang tidak berdalih apabila ditanya Rasul Allah S.A.W bukan calang-calang.

Apa yang nyata, hanya mereka yang dipandu iman dan keyakinan kepada janji-janji Allah sahajalah mampu berada dalam suasana yang cukup getir sebagaimana ditempuhi para sahabat

No comments: